Tuesday 10 September 2013

Maafkan Daku....(Bermaaf-maafan lebih hampir kepada takwa)

Berapa ramaikah yang faham, sedar dan tahu apa maksud kemaafan dalam erti sebenarnya? Dendam, sakit hati, terhiris hati semuanya kerana perkara yang lepas. Jika dendam, sakit hati, terhiris hati adalah untuk perkara-perkara yang sudah lepas, maka lawannya 'kemaafan' adalah juga untuk perkara-perkara yang lepas. Tiada apa yang perlu dimaafkan untuk masa depan yang belum kunjung tiba atau berlaku. Jadi, perbuatan maaf sebenarnya ialah untuk perkara-perkara yang lepas. 

Maka boleh disimpulkan bahawa kemaafan sebenarnya ialah "satu pelepasan segala harapan di hati" yang mengharapkan "waktu-waktu atau peristiwa-peristiwa silam/lampau/terlepas boleh terjadi dengan lebih baik." 

 “...dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” 
(Surah al-Baqarah : ayat 237) 

 “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang terbentang seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kema-rahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” 
(Surah al-Imran : ayat 133-134)

Ingatlah antara tanda-tanda seseorang itu orang yang bertaqwa ialah kemampuan dan keterbukaan hatinya untuk memaafkan kesalahan seseorang. Ingatlah juga, kita wajib memberi maaf jika telah diminta dan adalah lebih baik lagi, sekiranya kita dapat memaafkan dalam keadaan tidak diminta. Sebaliknya, orang-orang selalu berkata "tiada maaf bagimu" mahupun tidak mengerti nilai kemaafan sebenarnya sibuk melayan bisikan syaitan. Fahami ayat ini sekali lagi bagi yang masih tidak memahami apa yang dimaksudkan kemaafan: Kemaafan sebenarnya ialah "satu pelepasan segala harapan di hati" yang mengharapkan "waktu-waktu atau peristiwa-peristiwa silam/lampau/terlepas boleh terjadi dengan lebih baik."

Perkara yang lepas, sudah lepas, lepaskan sahaja kerana kita tidak mungkin dapat mengubahnya - oleh itu lepaskanlah segala harapan bahawa kita boleh mengubah masa silam, maafkanlah si dia, dan fokus ke hari ini dan langkah seterusnya dalam kehidupan. Tanyalah diri, sekiranya "masa silam" betul-betul wujud sebagai satu benda, di manakah si "masa silam"?

Sukalah kalau Allah ampunkan dosa kita, maka maafkanlah juga sikap orang kepada kita. Maafkanlah kerana kita lebih layak menikmati ketenangan.

 ***** Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 30 Ogs 2013

No comments:

Post a Comment