Friday 11 July 2014

HIMPUNAN HADIS RASULLULLAH SAW (RAMADHAN)

**credit
http://hadisrasullulah.blogspot.com


Kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
 
(At-Tirmidzi)

Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan)
 
(Muslim)

Puasa lidah
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”
 
(Imam Ahmad)

Puasa Yang Berkat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” 

 
Riwayat Ibnu Majah

Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan
Hadith :
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”
 
(al-Bukhari dan Muslim)

Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka
Hadith :
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
 
(al-Bukhari dan muslim)

Sunat Berbuka Dengan Kurma
Hadith :
Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.
 
(Abu Daud dan at-Tirmidzi)
 
 
Lailatul Qadar Turun Pada Malam Ganjil
Hadith :
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.”

(Muslim)


Banyakkan Amalam Dihari Yang Kesepuluh Terakhir Ramadhan
Hadith :
Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Disunatkan Berbuka Sebelum Mengerjakan Solat Maghrib
Hadith :
Dari Anas r.a ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila makan malam (berbuka) telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat maghrib, janganlah mendahului solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).


Puasa Orang Yang Musafir
Hadith :
Dari Hamzah bin Umar al-Islami, r.a. bahawa ia pernah bertanya Rasulullah, katanya: “Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?”. Rasulullah SAW menjawab: “Itu adalah satu rukhsah kemudahan) dari Allah Ta’ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah.”

(Muslim)


Tidak Mendapat Pahala Puasa Selain Dari Lapar Dan Dahaga
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”

(al-Bukhari)


Bezakan Puasa Dengan Orang yahudi Dan Nasrani
Hadith :
Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.”

(Muslim)


Hutang Puasa Orang Yang Meninggal Dunia
Hadith :
Dari Aisyah r.a, bahawa Rasulullah saw. bersabda:”Sesiapa yang meninggal dunia dan ia mempunyai tanggungan puasa, maka walinya harus berpuasa untuk membayar tanggungannya.

(Muslim)

No comments:

Post a Comment