*****credit to 'Pengguna Muslim APMM'
"Janganlah kamu dengki
mendengki. Jangan kamu putus memutus hubungan, janganlah kamu jauh
menjauhi hati, janganlah kamu benci membenci; hendaklah kamu semua wahai
hamba Allah hidup bersaudara dan haram bagi seorang Muslim itu menjadi
saudaranya tidak bercakap
selama tiga hari."
(Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim)
Secara tidak langsung
perasaan ini muncul ke dalam diri disebabkan rasa cemburu atau tidak
senang dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain berbanding diri
sendiri. Perasaan hasad dengki sukar dihapuskan dalam jiwa kerana ia
lahir di hati kecil tanpa pengetahuan
orang lain. Ia bermula daripada perasan cemburu hingga merebak dan
berkembang menjadi perasaan tidak tenang. Akibatnya, seseorang yang
dihinggapi perasaan ini akan sedaya upaya memenuhi kehendak hati yang
semakin menekan jiwa jika tidak mampu mengawalnya dengan
baik.
Sesungguhnya masalah hasad dengki menjadi punca fitnah besar yang
merosakkan perhubungan hidup bermasyarakat sejak manusia mula bertapak
di bumi. Perasaan dengki bermula dari anak Nabi Adam, Habil dan Qabil,
hasil hasutan iblis.
Perasaan hasad dengki yang wujud dalam kalangan umat manusia sekali gus
secara tidak langsung membawa kepada gejala buruk yang akan
menghancurkan perpaduan ummah yang telah sekian lama terbina. Oleh
kerana itu, agama Islam amat membenci mereka yang mempunyai
hasad dengki didalam jiwa-jiwa mereka.
Seharusnya kita mengetahui bahawa sesungguhnya setiap kelebihan atau
keistimewaan yang diperoleh seseorang adalah semestinya hasil dari
kurniaan Allah yang Maha Pemurah kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah mereka mendendami manusia disebabkan suatu kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?"
(Surah an-Nisa', ayat 54)
Setiap perkara bertujuan baik akan musnah dan hancur jika perasaan
dengki ini muncul di dalam hati. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Jauhkanlah diri kamu daripada dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan sebagaimana api memakan kayu."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sesungguhnya dengki mendengki dan benci membenci sesama sendiri tidak
sedikit pun memberi faedah atau keuntungan bahkan merugikan. Oleh itu,
kita sebagai umat Islam seharusnya sekeras-kerasnya menolak perasaan ini
agar tidak hadir dan terus membarah didalam
hati kita. Harus diingat bahawa syaitan akan sentiasa ketawa gembira
jika melihat umat Islam hidup didalam perpecahan.
Satu cara yang boleh dikongsikan untuk mengelakkan perasaan ini dari
membarah dan memakan diri kita ialah dengan kita hendaklah
sentiasa BERSYUKUR dengan segala kurniaan yang telah diberikan oleh
ALLAH kepada kita.
Allah telah menciptakan ummat manusia dengan pelbagai kelebihan.
Masing-masing punya kelebihan yang ada kalanya tidak dimiliki oleh
sebahagian yang lain. Mengapa ini terjadi?? Tidak lain dan tidak bukan
adalah untuk menjadikan manusia ini saling lengkap melengkapi.
Kerana kita semuanya memerlukan antara satu sama lain.
Jika kawan kita pemarah, ada yang boleh sabarkannnya, jika kita
pemboros, ada yang boleh mengawalnya, jika kita pemalas, ada yang akan
menegur supaya jadi rajin. Jika kita tidak tahu, ada yang akan beritahu.
Jika kita tahu, kitalah yang kena beritahu yang tak
tahu.
Maka kita semua hendaklah saling menghormati kerana tidak seorang pun di
kalangan kita boleh hidup sendiri. Kita saling memerlukan. Aku
memerlukan kamu, dan kamu memerlukan aku.
No comments:
Post a Comment